Monday, April 17, 2006

Dari Editor: Muafakat Membawa Berkat.

Sebulan yang lalu, perdana menteri kita Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ada membentangkan Rancangan Malaysia Ke-7. Pelbagai pandangan dapat kita dengar. Rata-ratanya melihat kepada pemberian nafas baru kepada Dasar Ekonomi Baru yang digagaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, perdana menteri kita yang kedua.
Rancangan Malaysia ke-7 ataupun pada sesetengah arkitel menyifatkannya sebagai 'Misi Nasional' melihat kepada perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia sebagai tunjak utamanya. Selain itu, dalam beberapa hal yang lain, turut ditekankan tentang pembangunan desa dan luar bandar, merapatkan jurang ekonomi dan kemajuan antara bandar dan luar bandar. Perkara inilah yang dilihat seolah-olah memberi nafas baru kepada Dasar Ekonomi Baru(DEB).
Telah lebih 10 tahun kita risau tentang keberkesanan DEB ini sebenarnya. Saban hari kita melihat satu demi satu media massa mendedahkan pekung yang selama ini tersimpan di dada. Lantas, hal ini membawa kepada perdebatan, forum yang amat panjang yang saya rasakan sehingga kini belum lagi menemui jalan penyelesaiannya.
Antara yang kerap dijadikan modal adalah ekuiti Bumiputera yang masih lagi belum mencapai sasaran sebanyak 30%. Menurut perangkaan terbaru, Bumiputera hanya berpuas hati dengan 18.4% penguasaan ekuiti pada tahun 2004 yang lepas. Perkara ini berlarutan hinggakan ramai yang tertanya adakah dasar ini masih lagi relevan untuk diterima pakai.
Namun pada pendapat saya, dasar ini tidak gagal sepenuhnya. Jika kita melihat pada objektifnya untuk mengurangkan kadar kemiskinan, dasar ini telah menunjukkan satu perkembangan yang amat memberangsangkan. Kadar kemiskinan secara keseluruhan telah berjaya diturunkan ke 5% pada tahun 2004. Ini merupakan satu pencapaian yang hebat dibandingkan dengan 17.1% pada tahun 1990.
Berkata tentang DEB, mengingatkan saya pada usaha-usaha awal Allahyarham Tun Abdul Razak dalam merealisasikan dasar ini. Ketika Malaysia berada di saat-saat getir 13 Mei, beliau berjaya memulakan langkah-langkah drastik merapatkan jurang ekonomi seterusnya menyelesaikan tunjang masalah utama iaitu perpaduan kaum. Pada tahun-tahun awal perlaksanaan, kita sendiri menyaksikan betapa dasar ini berjaya mencapai matlamatnya.
Pada hemat saya muafakat memainkan peranan yang amat penting. Seingat saya, zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan satu zaman yang mana menyaksikan seluruh parti-parti Melayu bersatu di bawah UMNO termasuklah PAS dan Semangat 46 sendiri. Perpaduan dan permuafakatan yang ditunjukkan nyata membuahkan hasil apabila kita melihat sendiri wujudnya satu momentum yang kuat ke arah pembangunan ekonomi Bumiputra dan pembasmian kemiskinan. Saya sendiri mengakui menaikkan ekuiti Bumiputera daripada angka yang sangat rendah (2.4%) dan membasmi kemiskinan dari tahap yang sangat tinggi (52%) bukanlah satu perkara yang mudah.
Sekarang sudah sampai masanya kita mengambil berat pada negara kita sendiri. Hampir 50 tahun telah berlalu, dan kita perlu melakukan keajaiban sekali lagi. Memetik kata-kata Professor Diraja Ungku Aziz.
" Kepada saya, ini adalah masalah mindset. Kita harus menukar mindset itu..."
Ya, mindset atau cara berfikir masyarakat Melayu itulah yang harus ditukar. Kita terlalu banyak fikirkan perbezaan daripada persamaan. Kita lebih suka bertelegah tentang diri kita sendiri. Tanpa kita sendiri banyak daripada masa kita dihabiskan untuk perkara ini daripada mengunakannya untuk memajukan diri kita sendiri.
"Ikan di gunung, asam di lautan,
sampai masa ketemu jua"
Kita perlu muncul dengan pendekatan yang baru, bergaduh pada perkara yang tidak membawa faedah, keras kepala dan taklid pada perkara yang sia-sia tidak akan membawa kita kemana-mana. Ramai antara kita lebih sanggup bertahan dengan ideologi masing-masing daripada memberi peluang kepada pembaharuan.
Mengapa tidak kalau kita menerima perubahan dan kita implementasikannya dengan cara kita sendiri. Sejarah pernah membuktikan misalnya betapa Dasar Pasaran Bebas benar-benar mendatangkan situasi menang-menang kepada negara kita sendiri dan apa yang lebih membanggakan kita lakukan dengan cara kita sendiri.
"Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh"
"Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing"
"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat"
Kita semua tahu tentang peribahasa tersebut. Nenek moyang kita telah lama mengingatkan kita tentang peri pentingnya permuafakatan bersama. Tidak banyak yang perlu kita lakukan sebenarnya, hanya satu dinding ego yang perlu dirobohkan bersama.
Atas sebab itulah, kami di sini mahu memulakannya dari kelompok yang kecil ini. Menyedari yang ramai antara kita daripada pelajar-pelajar berpotensi besar yang mampu menerajui tampuk kepimpinan negara satu masa nanti, kami rasakan kita perlu bersatu untuk kemashlahatan kita bersama.
Nama persatuan boleh menjadi apa sahaja, boleh bertukar menjadi apa sahaja tetapi bukan itu yang harus kita pandang. Matlamat dan arah tujuannya, itu yang lebih penting. Saya menyeru dan mengharap sepenuh sokongan kalian semua rakan perjuangan pada penubuhan kelab ini. Bersama-sama kita bina masa depan negara yang lebih cerah.
"Selamat Maju Jaya Kelab UMNO Volgograd"

No comments: