Monday, April 17, 2006

Kerajaan Islam Dalam Diri Sendiri

Petikan daripada pamplet kelab UMNO Volgograd
Penulis: Azhar Bin Osman(Naib Pengerusi Kelab UMNO Volgograd)


Sebelum kita memperkatakan tentang kerajaan Islam bertaraf negara, lebih baik kita memperkatakan tentang kerajaan Islam dalam diri sendiri kerana itu lebih utama untuk diberi perhatian. Mengapa? Ini memang telah diperintahkan Allah di dalam Al-Quran sebagaimana firmanNYA, “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”.

Cara ini juga yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W 1400 tahun dahulu. Baginda tidak terus bermula dengan jemaah besar atau masyarakat mahupun negara baginda mulakan secara kecil-kecilan dahulu dari satu kepada dua seterusnya tiga dan sehingga boleh menjadi jemaah. Kemudian daripada itu barulah membesar sehingga boleh tertegaknya negara Islam. Firman Allah, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (kerajaan dalam diri)”. Ayat ini bermaksud Allah akan mengubah luaran kita, keadaan kita baik diri kita, keluarga kita, ekonomi kita mahupun pelbagai bentuk kehidupan kita jika kita sendiri betulkan kerajaan dalam diri kita. Inilah yang menjadi hujah sebahagian ulamak juga, bahawa “tegakkan Islam dalam kerajaan diri, insyaAllah, nanti akan tertegak Islam pada negara”. Sebabnya, bermula dari satu kerajaan diri, kemudian kepada dua kerajaan diri hingga banyak kerajaan diri dapat ditegakkan Islam, maka akan tertegaklah Islam pada satu jemaah. Dari jemaah akan tertegak Islam dalam masyarakat. Dan dari masyarakatlah nanti, akan membawa Islam ditegakkan pada tahap negara. Mahu tidak mahu, kena bermula dari kerajaan diri.

Kerajaan dalam diri, diri ini, rajanya adalah hati. Hati itu dialah yang mengawal dan memerintah kerajaan diri. Anggota badan seperti tangan, kaki, mulut dan kepala adalah rakyat yang taat setia. Apa kata raja akan diikuti tanpa bantahan oleh rakyat. Baik raja, baiklah rakyat. Sebaliknya, jika jahat raja, jahatlah rakyat. Segalanya bergantung pada raja. Raja ini pula, dia ada penasihat atau guru, itulah akal namanya. Akal berperanan mendidik raja.


Nafsu pula adalah orang jahat dalam kerajaan diri. Nafsu sentiasa mencari-cari peluang untuk mempengaruhi hati. Kalau hati sebagai raja mendapat guru yang tidak berwibawa, jawabnya hati akan dapat dipengaruhi nafsu. Jadilah raja itu boneka sahaja dalam kerajaan diri. Nafsu akan bertindak memberi arahan-arahan yang melawan perintah Allah. Apabila nafsu memberi arahan jahat, Raja ikut sahaja. Jadilah rakyat seperti tangan dan kaki menjadi jahat juga. Terjebak dalam maksiat dan membuat kemungkaran. Jadi, amat penting kita mengislamkan kerajaan diri. Mengislamkan akal, nafsu dan hati yang sangat berperanan ke atas kerajaan di dalam diri. Baik kerajaan di dalam diri, baiklah di luar.


Itulah sahaja yang dapat diperkatakan di sini tentang kerajaan dalam diri. Sudah kita tahu, sudah kita mendapat ilmunya, jangan bertangguh lagi. Masing-masing ada kerajaan dalam diri. Masing-masing perlu bertanggungjawab pada kerajaan dalam diri sendiri. Islamkanlah kerajaan dalam diri kita itu. Moga-moga cepat proses ini berlaku, akan cepatlah Islam pada negara menjadi kenyataan.

No comments: