Monday, September 25, 2006

Selamat Menyambut Ramadhan

Ramadhan telah tiba dan InsyaAllah bagi menghidupkan suasana Kelab UMNO Volgograd akan mengadakan jualan pada setiap hari ahad. Seluruh muslimin dan muslimat dijemput untuk membeli.

Selain daripada itu, nantikan kain rentang besar Aidilfitri yang bakal digantung pada bila-bila masa sahaja. Kain rentang ini pastinya mendatangkan sesuatu yang lain untuk Ramadhan kali ini.

Aktiviti kelab UMNO seterusnya adalah pada Hari Raya seterusnya berterusan dengan sekurang-kurangnya satu aktiviti untuk setiap bulan. Marilah sama-sama kita memeriahkannya.

Semoga bulan ini mendatangkan banyak hikmah dan berkat kepada kita semua.

Perjumpaan di Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara

Satu pertemuaan telah diadakan antara AJK Penaja Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Volgograd dengan AJK Tertinggi Kelab UMNO Luar Negara Pusat sekitar 21 dan 22 Ogos yang lalu. Pertemuaan ringkas tersebut banyak berkisar mengenai penerangan dan taklimat tentang bagaimana Kelab UMNO berfungsi dan berjalan. Sukacita juga dimaklumkan sempena dengan pertemuan ini Kelab UMNO Volgograd (KUV) diluluskan penubuhannya secara rasmi.

Selain dari itu, pertemuan ini juga bertujuan bagi menubuhkan akaun kelab seterusnya memudahkan lagi pentadbiran kewangan dan urusan keluar masuk kewangan kelab. InsyaAllah seperti yang diberitahu, kelab kita bakal diberi peruntukan 'Puasa dan Raya' tidak lama lagi dan peruntukan tahunan sekitar bulan November.

Sebaik layanan yang diberikan kepada kami ketika di sana. Begitulah juga diharapkan agar perjalanan kelab mudah dan mendapatkan kerjasama dan sambutan semua pihak.

Saturday, September 9, 2006

Selamat Kembali

Assalamualaikum sebagai permbuka bicara. Semoga semua rakan taulan sihat-sihat hendaknya. Rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan "Selamat kembali ke bumi Volgograd" tempat kita sama-sama menuntut ilmu.

Satu tahun yang baru, satu semester yang baru. Moga hendaknya ia bakal menjanjikan sesuatu yang baik dan kita sendiri menjadi lebih matang dalam membuat keputusan.

Cabaran bakal ada, seolah-olah ia tidak yang boleh dielakkan. Namun, tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan. Kalau selama ini kita boleh tempuhinya dengan berjaya kenapa tidak setahun lagi dengan penuh keberanian. Sesungguhnya hidup dengan ketakutan samalah dengan tidak lansung hidup.

Periuk Nasi
Berkenaan dengan kelab pula, insyaAllah pelbagai aktiviti bakal menyusul. Untuk pengetahuan semua, di Hostel Hiroshima sudah pun mempunyai 2 periuk nasi besar yang mampu untuk memasak untuk lebih daripada 50 orang setiap satunya. Satu daripadanya merupakan hak milik Kelab UMNO Volgograd dan satu lagi merupakan hak milik PPIM Volgograd.Diharapkan dengan adanya kemudahan ini, melancarkan lagi penyelengaraan majlis kita.

Selain daripada itu, Kelab UMNO juga akan bekerjasama dengan PPIM Volgograd dalam merancang dan mengadakan akitiviti sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba.

Bekalan Ayam
Bagi memudahkan lagi keadaan, adalah sukacita diberitahu bahawa stok ayam sudah mula boleh didapati di hostel Hiroshima. Jika ada mana-mana rumah yang ingin membeli terus di ‘Optovi rinak’ barangkali stok ayam masih ada banyak untuk diberikan kepada kita.

Pendaftaran
Kepada sesiapa yang ada memiliki masalah tentang pendaftaran, lebih-lebih lagi tidak sanggup untuk menyalin nombor-nombor akaun yang banyak bagi membayar visa di bank, boleh dapatkan borang yang sudah siap sedia terisi nombor-nombor tersebut daripada kami di hostel Hiroshima. Pastikan juga anda mempunyai 4 gambar hitam putih (untuk pendaftaran visa) dan sekurang-kurangnya 1 gambar berwarna untuk ‘student card’.

Yuran Asrama
Kepada semua pelajar-pelajar asrama yang ingin menjelaskan yuran asrama, bolehlah berbuat demikian pada hari selasa minggu hadapan bersamaan dengan 12 September 2006. Menurut apa yang diberitahu yuran asrama kekal dengan 700 Dollar untuk 10 bulan tanpa sebarang perubahan.

Status kelab
Satu lagi berita gembira untuk diumumkan, kelab kita sudah pun mendapat kelulusan penuh daripada Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara. Wakil daripada Kelab UMNO Volgograd telah pun membuat lawatan ke sana bagi menyelesaikan masalah pembukaan akaun dan penjelasan tentang sistem pengurusan kelab. Sejajar dengan perkara tersebut, kemungkinan besar dalam masa yang terdekat akan diadakan satu perjumpaan dengan semua ahli kelab. Satu laporan khas dengan perjumpaan wakil Kelab UMNO Volgograd dengan sekretariat akan disiarkan tidak lama lagi.

Kami sedaya upaya akan cuba membantu agar kehidupan kita semua di sini lebih mudah hendaknya. Akhir kata, selamat maju jaya dan semoga tahun pembelajaran 2006/2007 yang baru ini berjalan lancar dan diberkati Allah hendaknya.