Thursday, November 30, 2006

Aeroflot kembali ke Malaysia

ST. PETERSBURG: Syarikat penerbangan Rusia Aeroflot dijangka mengadakan semula penerbangan terus dari Moscow ke Kuala Lumpur bermula tahun depan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu dijamin oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Valery Okulov dalam satu pertemuan dengan beliau pada Khamis.

"Dia memberi jaminan kepada kita yang mereka akan mengadakan penerbangan itu apabila mereka menerima pesawat Boeing dan Airbus yang ditempah pada akhir tahun ini dan awal tahun depan," katanya kepada wartawan Malaysia selepas melancarkan promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007, bagi peringkat Bandaraya St Petersburg, di sini lewat malam tadi.

Aeroflot menghentikan penerbangan ke Malaysia lebih 10 tahun lalu apabila Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang mengalami masalah kesesakan.

"Tetapi sekarang kita dah beritahu mereka mengenai KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) dan mereka bersetuju untuk mengadakan semula penerbangan terus ini," katanya.

Buat masa ini, terdapat 14 penerbangan dari Moscow ke Kuala Lumpur yang dilakukan oleh empat syarikat penerbangan asing iaitu Singapore Airlines (SIA), Thai Airways, Qatar Air dan Emirates.

Bagaimanapun, kesemua penerbangan itu adalah secara persinggahan, katanya.

Ketibaan pelancong Rusia untuk tempoh lima tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu daripada 5,799 pada 2000 kepada 8,386 tahun lalu.

Untuk tahun ini, kementerian itu mensasarkan ketibaan 20,000 pelancong Rusia berdasarkan peningkatan sebanyak 76 peratus bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Dari Januari hingga Mei lalu, ketibaan pelancong Rusia direkodkan sebanyak 7,243.

Tengku Adnan berkata beliau juga yakin Aeroflot tidak akan menghadapi masalah bagi mendapatkan kebenaran mendarat di KLIA memandangkan Malaysia mengamalkan dasar langit terbuka.

Selain Aeroflot, beliau berkata beberapa syarikat penerbangan asing lain turut menyatakan hasrat untuk mengadakan semula penerbangan ke Malaysia, antaranya syarikat penerbangan dari Finland (Finnair).

"Finnair berminat nak buat penerbangan dari St Petersburg-Helsinki-KL, dan ini satu peluang yang baru untuk kita," katanya sambil menambah kerajaan kini dalam usaha memperluaskan pasaran di negara bekas Soviet Union itu.

Beliau berkata bagi menggalakkan lebih banyak penerbangan asing yang menghentikan penerbangan ke Malaysia akibat kesesakan di LTSAAS kembali ke negara ini, pihaknya akan berunding dengan Malaysia Airports Berhad (MAB) untuk memberikan insentif tertentu kepada yang berminat. BERNAMA

No comments: