Saturday, November 25, 2006

Amanat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi Sempena Perjumpaan Tertutup Dengan Perwakilan-Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara


Rata-rata sepanjang pertemuan ringkas Dato’ Seri bersama dengan perwakilan, beliau banyak menyentuh tentang apa yang dikatakan sebagai modal insan (human capital). Menurut beliau, antara sebab kerajaan sanggup membelanjakan sebegitu banyak wang untuk menghantar pelajar Malaysia ke luar Negara adalah bagi merealisasikan matlamat ini selaras dengan tuntutan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK 9).

Kenapa modal insan? Kenapa tidak sumber pekerja?

“Kerana apa yang ada pada manusia adalah satu modal yang amat besar untuk membangunkan Negara”

Pak Lah memberikan Switzerland sebagai contoh. Walaupun tanpa sebarang bahan mentah. Negara tersebut berjaya muncul di dunia sebagai sebuah Negara pengeluar yang disegani dengan jamnya, coklatnya dan pelbagai lagi. Kekuatan minda yang ada pada rakyat Switzerland telah diperuntukkan sebaiknya sehingga dapat memajukan Negara tersebut. Inilah menurut beliau dikatakan sebagai modal insan.

Apa kena mengenanya dengan kita?

Pemimpin itu punyai makna yang cukup luas. Beliau berkata, tidak semestinya anda berkecimpung dalam kelab UMNO, anda perlu menjadi ahli politik. Sebabnya, pemimpin itu tidak semestinya ahli politik sahaja. Negara kita juga memerlukan pemimpin yang mampu memimpin bidang-bidang kekuatan ilmu (kedoktoran, perakuanan, guaman dll).

Sudah terlalu banyak bidang professional yang telah diketuai oleh orang bukan melayu, perubatan misalnya. Golongan professional Melayu perlu bangkit, menyahut saranan kerajaan dan menukar keadaan ini.

Nilai Tambah

Perubahan ke arah kebaikan perlu ada. Keinginan ingin menambah nilai itu perlu disemat dalam semua. Kita perlu sentiasa bersedia untuk berubah.

“Kalau dulu cemerlang, sekarang gemilang
Kalau dulu gemilang, sekarang terbilang”

Manusia sentiasa berubah untuk mencapai kejayaan kerana apa yang bagus hari ini mungkin tidak lagi pada masa akan datang.

“Kita tak mahu bangsa kita cepat mengalah. Meritokrasi sebagai benchmark . Dulu ramai orang melayu hanya ambil easy course. Sekarang dah ramai yang ambil kursus yang sukar…”

Menurut Pak Lah lagi, jika dahulu DEB lebih mementingkan kepada penyusunan ekonomi sekarang Negara memerlukan lebih banyak saintis dan penyelidik untuk membantu R&D (Penyelidikan dan pembangunan). Malaysia perlu keluar dengan penghasilannya sendiri bukan lagi meniru orang lain.

Pendekatan Islam Hadhari. Kenapa ada salah faham?


Pak Lah mengeluarkan rasa kesalnya tentang begitu banyak tentangan dan salah erti tentang pendekatan Islam Hadhari.

“Peliknya masalahnya bukan dengan non-muslim tapi sesama muslim itu sendiri, saudara kita sendiri”

Beliau berkali-kali menegaskan yang Islam Hadhari itu bukannya satu mazhab, bukan agama baru tapi satu pendekatan untuk mengembalikan islam itu ke dalam pentadbiran, pembangunan dan kehidupan kita seharian yang hasil penjajahan menyebabkan ia semakin jauh terpisah.

Pak Lah berkata yang dunia Islam kini terlalu rapuh. OIC terlalu berunsur politik. Puak Sunni bertelegah dengan Puak Syiah. Umat semakin lemah kerana mereka tidak bersatu. Palestin masih belum bersatu untuk membina satu Negara walaupun dalam keadaan genting sebegini. Begitu juga di Malaysia, kita lebih suka menegakkan pendirian masing-masing daripada bersetuju dengan satu perkara dan pihak-pihak luar menjadikan kelemahan kita ini sebagai kekuatan mereka untuk menjatuhkan kita.

Harapan beliau agar pendekatan islam hadhari ini mampu membawa Malaysia untuk menukar persepsi dunia tentang Islam itu sendiri; bukannya penganas semata-mata tetapi Negara yang disegani dan ada kekuatan sendiri.

Ulul-Albab

Dalam mengejar kemajuan, Negara sangat-sangat memerlukan insan yang boleh digelarkan sebagai Ulul Albab, mereka yang kuat dari segi mental dan fizikal. Negara memerlukan insan yang sentiasa menyelidik kejadian alam di bumi untuk kesejahteraan masyarakat.

“Kita perlukan rakyat yang memenuhi keperluan sahsiah, mental, fizikal; tak guna pandai tapi tak tahu agama, pandai tapi sakit”

“…orang islam dulu, bukan saja pandai dalam sains tapi juga kuat agama. Siang mereka menyelidik, malam mereka beribadat”

Apa yang penting kata beliau, tahu dan sedar tentang pegangan agama kita dan berjaya dalam kerjaya kita.

Beliau mengharapkan semua pelajar yang menuntut di luar Negara mendapat keputusan cemerlang, menjadi tokoh kepada yang lain dan pulang ke tanah air untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan Negara.

“Bekerja bukan untuk saya tetapi bersama-sama saya….kerana kita semua ini hamba Allah dan kita semua sekarang menunaikan ibadah kita kepada Allah”


Mohamad Fadli bin Khairie
Perwakilan Kelab UMNO Volgograd

No comments: