Perlembagaan


FASAL 1NAMA
Pertubuhan ini dinamakan Kelab Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Luar Negara atau Kelab UMNO Luar Negara, dan di dalam perlembagaan ini dikenali sebagai Kelab.
FASAL 2COGANKATA KELAB UMNO LUAR NEGARA IALAH:-
MARTABAT – BANGSA – GEMILANG
FASAL 3ALAMAT
3.1.Alamat tetap Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara adalah:
Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara,
Suite 3.2 Aras 5, Menara Dato’ Onn,
50480 Kuala Lumpur, MALAYSIA.
FASAL 4ASAS DAN TUJUAN
Kelab adalah pertubuhan yang menyokong dan mendukung cita-cita parti politik UMNO Malaysia untuk mencapai tujuan-tujuan berikut:
4.1.Mendukung dan mempertahankan kedaulatan negara, Perlembagaan Negara dan Raja  Berpelembagaan.
4.2.Mempertahan, menegak dan mengembangkan agama Islam di samping menghormati prinsip kebangsaan beragama.
4.3.Merapat dan menyatupadukan masyarakat Melayu atau Bumiputra di luar negara bagi membela dan memperjuangkan kepentingan dan masa depan bangsa Melayu atau Bumiputra.
4.4.Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berasaskan Kebudayaan Melayu.
4.5.Merapatkan hubungan dan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu masyarakat Malaysia yang kuat dan bersatu.
4.6.Menjalankan segala bentuk aktiviti untuk menjaga kebajikan masyarakat Melayu dan Bumiputra khasnya dan masyarakat Malaysia amnya di luar negara.
4.7.Mengadakan kerjasama dengan Organisasi-Organisasi lain yang mempunyai cita – cita dan tujuan-tujuan yang selaras dengan Kelab.
FASAL 5KEAHLIAN
5.1.Seseorang warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputra berusia 18 tahun ke atas yang berada di luar Negara layak untuk memohon menjadi ahli Kelab mengikut Perlembagaan dan Peraturannya.
5.2.Permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dikemukakan bersama dengan yuran dan wang pendaftaran kepada Jawatankuasa Cawangan Kelab yang berkuasa untuk menerima atau menolak pemohon tersebut dengan tidak memberi apa-apa sebab di atas keputusannya.
FASAL 6TANGGUNGJAWAB DAN HAK AHLI
6.1.Tiap-tiap ahli kelab mempunyai tanggungjawab seperti berikut:
6.1.1.Memegang teguh dasar kelab dan melaksanakan tujuan- tujuannya.
6.1.2.Menghadiri mesyuarat dan mengambil bahagian dalam kegiatan kelab.
6.1.3.Mematuhi peraturan dan disiplin Kelab.
6.1.4.Berkhidmat kepada masyarakat Melayu atau Bumiputra Khasnya dan Masyarakat Malaysia amnya.
6.2.Setiap ahli berhak bersuara, mengundi, memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan di dalam Kelab dan hak mengundinya tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa juapun.
6.3.Ahli-ahli yang tidak menjelaskan yurannya mengikut peruntukan dalam Perlembagaan hilang haknya seperti yang tersebut dalam Fasal 6.2. bagi tahun berkenaan. Ahli-ahli yang sedang di dalam cadangan untuk digantung atau dipecat tidaklah hilang hak keahliannya.
6.4.Tanpa menghiraukan apa-apa peruntukan yang lain dalam perlembagaan ini, seseorang ahli jika dikenakan hukuman disiplin yang melarang ia memegang jawatan:
6.4.1.Tidak dibenarkan dicalon, dipilih atau dilantik untuk sebarang jawatan; dan
6.4.2.Jika memegang sebarang jawatan hendaklah secara otomatik terlucut dari jawatannya.
6.5.Seseorang ahli itu tidak berhak:
6.5.1.Menjadi ahli lebih daripada satu cawangan.
6.5.2.Memegang sebarang jawatan lebih daripada satu cawangan.
6.5.3.Menjadi Ahli Jawatankuasa di peringkat yang sama di mana ia telah dipilih menjadi Juruaudit dan sebaliknya.
6.6.Jawatankuasa Cawangan berkuasa mengambil tindakan displin ke atas mana-mana ahli yang melanggar tanggungjawab seperti yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan ini.
FASAL 7SUSUNAN DAN PENTADBIRAN UMNO
7.1.Bentuk susunan Kelab dan pembahagian kuasa adalah seperti berikut:
7.1.1.Pusat – Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara selepas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Tertinggi Kelab atau waktu ketiadaannya Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Kelab.
7.1.2.Negara – Badan Perhubungan Negara atau waktu ketiadaan Pengerusi Badan Perhubungan Negara.
7.1.3.Cawangan – Persidangan Cawangan atau waktu ketiadaanya Jawatankuasa Cawangan.
FASAL 8JAWATANKUASA KELAB UMNO LUAR NEGARA
(JAWATANKUASA TERTINGGI KELAB)
8.1.Majlis kerja Tertinggi berkuasa melantik Jawatankuasa Tertinggi Kelab UMNO Luar Negara iaitu kuasa tertinggi Kelab dan perjalanan Kelab berasaskan kepada kuasa dan perintahnya, tertakluk kepada Perlembagaan dan Peraturan Kelab.
8.2.Tugas-tugas Jawatankuasa Tertinggi Kelab ialah:
8.2.1.Menentukan dasar-dasar Kelab.
8.2.2.Mengkaji kerja-kerja semua Badan Perhubungan Negara.
8.2.3.Melantik seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi bagi setiap Badan Perhubungan Negara.
8.2.4.Menetapkan peraturan Persidangan Cawangan.
FASAL 9BADAN PERHUBUNGAN NEGARA
9.1.Badan Perhubungan Negara boleh ditubuhkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Kelab di mana-mana Negara.
9.2.Badan Perhubungan Negara hendaklah terdiri daripada:
9.2.1.Seorang Pengerusi.
9.2.2.Seorang Timbalan Pengerusi.
9.2.3.Seorang Setiausaha.
9.2.4.Seorang Penolong Setiausaha.
9.2.5.Seorang Bendahari.
9.2.6.Seorang Ketua Penerangan.
9.2.7.2 orang wakil bagi setiap Cawangan yang hendaklah terdiri daripada Ketua, Timbalan Ketua atau Setiausaha Cawangan.
9.3.Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah dilantik oleh Jawatankuasa Tertinggi Kelab dan akan memegang jawatan selama dua tahun kecuali mereka berhenti atau diberhentikan.
9.4.Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan ketua Penerangan hendaklah dilantik oleh pengerusi Badan Perhubungan Negara dan akan memegang jawatan selama dua tahun kecuali mereka berhenti atau diberhentikan.
9.5.Jawatan Ahli Badan Perhubungan Negara tidak menjadi kosong disebabkan seseorang itu telah dilantik memegang jawatan mengikut Fasal 9.4.
9.6.Tugas-tugas Pegawai Badan Perhubungan Negara ialah:
9.6.1.Pengerusi :
9.6.1.1.Menjadi Ketua Badan Perhubungan Negara yang bertanggungjawab ke atas kesempurnaan perjalanan Badan Perhubungan Negara keseluruhannya.
9.6.1.2.Melantik Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan.
9.6.1.3.Memanggil dan mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Negara.
9.7.2.Timbalan Pengerusi :
9.7.2.1.Membantu tugas-tugas Pengerusi.
9.7.2.2.Mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Negara di masa ketiadaan Pengerusi.
9.7.3.Setiausaha :
9.7.3.1.Bertanggungjawab secara langsung kepada Pengerusi.
9.7.3.2.Kesempurnaan mesyuarat Badan Perhubungan Negara.
9.7.3.3.Mengumpul Penyata-penyata Tahunan Cawangan untuk dihantarkan kepada Jawatankuasa Tertinggi Kelab.
9.7.4.Penolong Setiausaha :
9.7.4.1.Bertanggungjawab membantu Setiausaha.
9.7.4.2.Bertanggungjawab menjalankan tugas Setiausaha di masa ketiadaan Setiausaha.
9.7.5.Bendahari :
9.7.5.1.Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Badan Perhubungan Negara.
9.7.5.2.Bertanggungjawab menyedia dan melaporkan kedudukan kewangan Badan Perhubungan Negara pada tiap-tiap mesyuarat Badan Perhubungan Negara dan menyediakan Penyata Kira-kira Tahunan untuk diperiksa oleh Juruaudit.
9.7.6.Ketua Penerangan :
9.7.6.1.Bertanggungjawab ke atas semua kegiatan penerangan dan melapurkan kepada Badan Perhubungan Negara.
9.8.Jika Pengerusi berhenti, maka jawatan Pengerusi hendaklah dipangku oleh Timbalan Pengerusi sehingga diadakan pengganti oleh Jawatankuasa Tertinggi.
9.9.Jika Timbalan Pengerusi merangkap Pemangku Pengerusi berhenti, maka Badan Perhubungan Negara hendaklah memilih salah seorang daripada ahli Jawatankuasa untuk memegang jawatan itu sehingga Pengerusi dan Timbalan Pengerusi diganti oleh Jawatankuasa Tertinggi Kelab.
9.10.Badan Perhubungan Negara hendaklah bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam masa empat bulan, atau:
9.10.1.Pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Pengerusi atau
9.10.2.Dengan permintaan bertulis oleh satu pertiga daripada ahli Badan Perhubungan Negara.
9.11.Jika Setiausaha tidak memanggil mesyuarat mengikut Fasal 9.10.2. selepas 14 hari daripada tarikh permohonan itu diterima maka ahli-ahli yang memohon itu boleh mengadakan mesyuarat itu dengan syarat semua ahli hendaklah dijemput hadir.
9.12.Satu pertiga daripada bilangan Ahli Badan Perhubungan Negara adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat.
FASAL 10TANGGUNGJAWAB BADAN PERHUBUNGAN NEGARA
10.1.Membentuk dasar-dasar Badan Perhubungan Negara.
10.2.Memastikan aktiviti-aktiviti semua Cawangan mengikut kehendak Perlembagaan dan dasar-dasar Badan Perhubungan Negara.
10.3.Menjalankan sebarang usaha bersama dengan organisasi – organisasi lain atas hal-hal yang sesuai dengan tujuan-tujuan Kelab.
10.4.Menetapkan jumlah dan tarikh pembayaran yuran tahunan dan wang pendaftaran keahlian.
10.5.Menetapkan tarikh pembayaran jumlah sumbangan kepada Badan Perhubungan Negara daripada kutipan yuran dan wang pendaftaran ahli oleh Cawangan.
10.6.Bertanggungjawab ke atas segala pendapatan dan sumbangan yang diterima mengikut Fasal 19.
10.7.Mengumpul Penyata Tahunan dan Penyata Kira-Kira yang telah diperiksa dan disahkan oleh Juruaudit daripada setiap Cawangan.
10.8.Menentukan perbelanjaan, menamakan mereka yang ditauliahkan  menandatangani cek dan menetapkan tempat menyimpan wang.
10.9.Melantik pemegang amanah dan memberhentikannya pada bila – bila masa jua pun.
10.10.Melantik dua orang Juruaudit dan mengganti Jika berlaku pemberhentian.
10.11.Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara – perkara yang disebut di atas bagi  kesempurnaan perjalanan Badan Perhubungan Negara.
FASAL 11PEJABAT SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN NEGARA
Pejabat Setiausaha Badan Perhubungan Negara hendaklah ditempatkan di mana – mana juga tempat yang ditentukan oleh Badan Perhubungan Negara.
FASAL 12CAWANGAN
12.1.Badan Perhubungan Negara berkuasa menubuh, menggantung dan membubarkan Cawangan setelah terlebih dahulu berunding dan merujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi Kelab.
12.2.Tertakluk kepada Perlembagaan dan Peraturan Kelab, perjalanan Cawangan  adalah berasaskan pada kuasa dan perintah Persidangan Cawangan.
12.3.Persidangan Cawangan hendaklah diadakan setahun sekali mengikut tahun kalendar.
12.4.Persidangan Cawangan hendaklah terdiri daripada:
12.4.1.Ahli – ahli Jawatankuasa Cawangan.
12.4.2.Ahli – ahli Kelab yang telah menjelaskan yuran tahunannya selewat – lewatnya sebelum diadakan Persidangan Cawangan, bagaimanapun ahli-ahli yang mendaftar pada hari pengundian hanya boleh menjadi pemerhati dan tidak dibenarkan mengundi, mencalon atau dicalon untuk sebarang jawatan. Namun demikian, ahli-ahli tersebut dibenarkan menghadiri dan hanya menjadi pemerhati persidangan.
12.5.Tugas – tugas Persidangan Cawangan ialah:
12.5.1.Membincangkan dasar Cawangan.
12.5.2.Mengkaji kerja – kerja yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Cawangan.
12.5.3.Mengadakan rancangan – rancangan kerja sesuai dengan dasar – dasar Kelab.
12.5.4.Memilih dua orang Juruaudit.
12.5.5.Memilih Ahli – ahli Jawatankuasa tertakluk kepada Fasal 13.1.
12.5.6.Memilih dua orang wakil sebagai ahli biasa Badan Perhubungan Negara.
12.6.Persidangan Khas Cawangan hendaklah diadakan:
12.6.1.Dengan kehendak Ketua Cawangan;
12.6.2.Dengan permintaan bertulis daripada sekurang – kurangnya satu pertiga Ahli – ahli Jawatankuasa Cawangan;
12.6.3.Dengan permintaan bertulis daripada separuh jumlah ahli – ahli Cawangan yang telah membayar yuran untuk tahun tersebut.
FASAL 13JAWATANKUASA CAWANGAN
13.1.Jawatankuasa Cawangan hendaklah terdiri daripada:
13.1.1.Ketua.
13.1.2.Timbalan Ketua.
13.1.3.Setiausaha.
13.1.4.Bendahari.
13.1.5.Ketua Penerangan.
13.1.6.Tidak lebih daripada lima belas (15) orang yang dipilih oleh Persidangan Cawangan.
13.1.7.Tidak lebih dari tiga (3) orang ahli yang dilantik oleh Ketua Cawangan.
13.2.Ketua, Timbalan Ketua dan lima belas (15) Ahli – ahli Jawatankuasa Cawangan hendaklah dipilih tiap – tiap tahun oleh Persidangan Cawangan.
13.3.Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan tidak lebih dari tiga (3) orang ahli hendaklah dilantik oleh Ketua Cawangan dan akan memegang jawatan mereka selama tempoh Jawatankusa Cawangan yang berkenaan kecuali mereka berhenti atau diberhentikan oleh Ketua Cawangan.
13.4.Jawatan Ahli – ahli Jawatankuasa Cawangan tidak menjadi kosong disebabkan seseorang ahli itu telah dilantik menjadi pegawai mengikut Fasal 13.3.
13.5.Jawatankuasa Cawangan hendaklah bersidang sekurang – kurangnya dua bulan sekali atau:
13.5.1.Pada bila – bila masa yang dikehendaki oleh Ketua Cawangan; atau
13.5.2.Dengan permintaan bersurat daripada satu pertiga Ahli Jawatankuasa Cawangan.
13.6.Jika Setiausaha tidak memanggil mesyuarat mengikut Fasal 13.5.2. dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh permohonan itu dibuat maka ahli-ahli yang memohon boleh memanggil mesyuarat itu dengan syarat semua Ahli Jawatankuasa Cawangan dijemput hadir.
13.7.Satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat.
13.8.Sekiranya seseorang Ahli Jawatankuasa yang dipilih tiada lagi memegang jawatannya maka jawatan itu tidak boleh diganti.
13.9.Jika Ketua Cawangan berhenti atau diberhentikan maka Timbalan Ketua akan memangku jawatan itu dan jika Pemangku Ketua itu berhenti atau diberhentikan maka salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa boleh dilantik memangku jawatan itu.
13.10.Jika Ketua dan Timbalan tidak hadir di dalam Mesyuarat Jawatankuasa maka salah seorang daripada ahli-ahli yang hadir itu boleh dilantik menjadi Pengerusi.
13.11.Tugas-tugas Pegawai Cawangan:-
13.11.1.Ketua:
13.11.1.1.Bertanggungjawab ke atas kesempurnaan perjalanan Cawangan keseluruhannya.
13.11.1.2.Melantik Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan.
13.11.1.3.Memanggil dan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Cawangan.
13.11.2.Timbalan Ketua:
13.11.2.1.Membantu tugas-tugas Ketua Cawangan.
13.11.2.2.Mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Cawangan di masa ketiadaan Pengerusi.
13:11.3.Setiausaha:
13.11.3.1.Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua  Cawangan.
13.11.3.2.Bertanggungjawab atas kesempurnaan mesyuarat  Jawatankuasa Cawangan dan Persidangan Tahunan.
13.11.3.3.Menyediakan Penyata Tahunan untuk dibentangkan di Perhimpunan Tahunan.
13.11.4.Penolong Setiausaha:
13.11.4.1.Bertanggungjawab membantu Setiausaha.
13.11.4.2.Bertanggungjawab menjalankan tugas Setiausaha di masa ketiadaan Setiausaha.
13.11.5.Bendahari:
13.11.5.1.Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Cawangan.
13.11.5.2.Bertanggungjawab menyedia dan melapurkan kedudukan kewangan cawangan pada tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi dan menyediakan Penyata Kira-Kira Tahunan untuk diperiksa oleh Juruaudit dan dibentangkan di Persidangan Cawangan.
13.11.6.Ketua Penerangan:
13.11.6.1.Bertanggungjawab ke atas semua kegiatan penerangan dan melapurkan kepada Jawatankuasa Cawangan.
13.12.Tugas – tugas Jawatankuasa Cawangan ialah:
13.12.1.Membentuk dasar-dasar Cawangan.
13.12.2.Menjalankan aktiviti-aktiviti Cawangan mengikut kehendak Persidangan Cawangan dan Perlembagaan.
13.12.3.Menjalankan sebarang usaha bersama dengan organisasi-organisasi lain atas hal-hal yang sesuai dengan tujuan-tujuan Kelab.
13.12.4.Menetapkan tarikh Persidangan Cawangan.
13.12.5.Bertanggungjawab ke atas segala pendapatan dan sumbangan yang diterima mengikut Fasal 19.
13.12.6.Membentang kepada Persidangan Cawangan suatu Penyata Tahunan dan Penyata Kira-Kira yang telah diperiksa dan disahkan oleh Juruaudit.
13.12.7.Menerima, menolak, menggantung atau melucutkan keahlian seseorang ahli.
13.12.8.Menentukan perbelanjaan, menamakan mereka yang ditauliahkan menandatangani cek dan menetapkan tempat menyimpan wang.
13.12.9.Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang disebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan Kelab.
FASAL 14PEJABAT SETIAUSAHA CAWANGAN
Pejabat Setiausaha Cawangan hendaklah ditempatkan di mana-mana juga tempat yang ditentukan oleh Jawatankuasa Cawangan.
FASAL 15DISIPLIN
15.1.Jawatankuasa Tertinggi Kelab berkuasa menentukan peraturan-peraturan berkaitan tataetika ahli yang hendaklah diguna pakai oleh semua Cawangan.
15.2.Seseorang ahli atau pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan disiplin yang dikenakan ke atasnya boleh merayu kepada Badan Perhubungan Negaranya.
15.3.Mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan ini atau peraturan-peraturan tataetika boleh dikenakan mana-mana hukuman yang disebut di bawah:
15.3.1.Diberi amaran.
15.3.2.Digantung haknya di dalam Kelab.
15.3.3.Dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam Cawangan bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Cawangan.
15.3.4.Dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.
FASAL 16KAD KEAHLIAN
16.1.Kad Keahlian boleh disediakan dan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Kelab.
16.2.Jawatankuasa Tertinggi Kelab boleh membuat apa-apa peraturan berkenaan pengeluaran Kad Keahlian di semua peringkat.
FASAL 17LENCANA DAN LAMBANG KELAB
17.1.Lencana dan lambang Kelab hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Kelab.
17.2.Jawatankuasa Tertinggi Kelab Malaysia berkuasa membuat sebarang peraturan berkenaan dengan lencana dan lambang Kelab.
FASAL 18BENDERA KELAB
18.1.Rupa bendera Kelab adalah sebagaimana dibawah ini:
Warna merah terletak di atas warna putih sama lebarnya dan satu bulatan berwarna kuning terletak di tengah-tengah bendera itu dan di tengah-tengah bulatan itu terletak rupa sebilah keris Melayu terhunus berwarna hijau dan hulunya menghala ke penjuru di sebelah atas kiri bendera itu.
18.2.Jawatankuasa Tertinggi Kelab Malaysia adalah berkuasa membuat sebarang peraturan atas penggunaan bendera itu.
FASAL 19PUNCA PENDAPATAN
19.1.Kewangan Kelab adalah diperolehi daripada:
19.1.1.Ibu Pejabat UMNO Malaysia.
19.1.2.Wang pendaftaran dan yuran ahli.
19.1.3.Ikhtiar-ikhtiar lain yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.
19.2.Tahun kewangan Kelab ialah dari 1 Januari hingga 31 Disember.
FASAL 20YURAN KELAB
20.1.Tiap – tiap ahli hendaklah membayar dengan wangnya sendiri kepada Setiausaha Cawangan Kelab, wang Pendaftaran (untuk yang baru memohon menjadi ahli Kelab) dan yuran tahunan (yang dibayar tiap-tiap tahun oleh setiap ahli).
20.2.Jumlah wang pendaftaran dan yuran tahunan hendaklah ditetapkan oleh Badan Perhubungan Negara.
20.3.Yuran yang ditetapkan mengikut Fasal 20.2. di atas hendaklah dijelaskan tidak lewat daripada tarikh yang ditetapkan oleh Badan Perhubungan Negara.
FASAL 21CARA MENYIMPAN DAN MENGGUNAKAN WANG KELAB
21.1.Tertakluk kepada Fasal 21.2. Badan Perhubungan Negara dan Jawatankuasa Cawangan boleh menentukan cara-cara menyimpan dan menggunakan wang Kelab diperingkat masing-masing.
21.2.Jawatankuasa Tertinggi Kelab berkuasa membuat sebarang peraturan berkenaan dengan kewangan Kelab.
FASAL 22PEMERIKSA KIRA-KIRA
22.1.Badan Perhubungan Negara dan Persidangan Cawangan hendaklah melantik dua orang ahli untuk menjadi Juruaudit bagi memeriksa kira-kira wang dan harta Kelab diperingkat masing-masing.
22.2.Badan Perhubungan Negara atau Jawatankuasa Cawangan hendaklah memilih Juruaudit menggantikan Juruaudit yang menarik diri diperingkat masing-masing dan perubahan ini hendaklah dimaklumkan kepada semua ahli.
FASAL 23MEMINDA PERLEMBAGAAN
23.1.Perlembagaan ini atau sebarang bahagian daripadanya boleh dipinda atau dimansuhkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Kelab.
23.2.Cadangan-cadangan pindaan kepada Perlembagaan boleh dicadangkan oleh Badan Perhubungan Negara.
FASAL 24PEMBUBARAN
24.1.Cawangan Kelab hanya boleh dibubarkan oleh Badan Perhubungan Negara.
24.2.Jawatankuasa Tertinggi Kelab berhak membubarkan mana-mana Badan Perhubungan Negara di luar negara tanpa perlu memberi sebarang sebab.
24.3.Segala wang dan harta benda Kelab UMNO yang dibubarkan akan menjadi hak milik Parti UMNO Malaysia.
FASAL 25KUATKUASA PERLEMBAGAAN
Perlembagaan ini berjalan kuatkuasanya daripada tarikh yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi UMNO Malaysia untuk diterima-pakai oleh Kelab – Kelab UMNO di luar negara sebagai Perlembagaan Kelab.
FASAL 26TAFSIRAN
Jika berbangkit sebarang perselisihan di atas tafsiran Perlembagaan ini atau Peraturan Persidangan Cawangan Kelab yang dibuat di bawah kuatkuasanya maka tafsiran yang diberikan oleh Jawatankuasa Tertinggi Kelab adalah muktamad.
FASAL 27PEGANGAN DAN LANTlKAN JAWATAN
Telah ditetapkan bahawa Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Alhi-ahli Jawatankuasa Kelab UMNO sesebuah cawangan akan dipilih setiap dua ( 2 ) tahun melalui pencalonan dan pengundian dalam Mesyuarat Agung.
FASAL 28LAPORAN KEGIATAN
Setiap kelab hendaklah membuat laporan kegiatan yang perlu diserahkan kepada Badan Perhubungan Negara di zon masing-masing serta kepada Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara di Kuala Lumpur setiap tiga bulan. Laporan aktiviti ini meliputi pelbagai kegiatan yang telah dijalankan oleh pihak kelab termasuk mesyuarat yang diadakan.

No comments: